Teluk Intan: “Saya tidak dapat bayangkan detik ngeri apabila arwah suami diseksa dan dicekik sekuat hati oleh perompak hingga mati di depan mata saya dan anak,” ujar isteri mangsa pembunuhan kejam, Mohd Suhaili Abd Salim, 27, Masitah Zamri, 26.
Dalam kejadian jam 3.30 pagi semalam, mangsa seorang petani dibunuh ketika cuba melawan empat penjenayah yang menceroboh rumahnya di Kampung Sungai Badak, Ulu Dedap, Mukim Kota Setia, di sini. Masitah berkata, beberapa jam sebelum kejadian, suaminya sempat menghadiahkan ciuman tanda sayang sebelum dia dan anak perempuannya, Nor Farah Izzati Mohd Suhaili, 7, tidur.
“Kejadian berlaku ketika kami semua sedang nyenyak tidur di dalam bilik sebelum terkejut apabila pintu bilik ditendang hingga pecah.
“Empat lelaki bersenjata parang dan bertopeng muncul sebelum mengacukan senjata ke arah kami. Suhaili cuba melawan, namun dipukul sebelum tangannya diikat,” katanya.
Dia mendakwa tangannya diikat penjenayah bersama anak perempuannya itu.
“Penjenayah kemudian memukul semula suami bertubi-tubi dengan batang paip dan seterika hingga tidak bermaya. Malah, penjenayah turut menyumbat seluar ke dalam mulut arwah suami saya.
“Mereka turut memukul suami saya sekali lagi sebelum mencekik lehernya tanpa belas kasihan. Suami saya hanya dilepaskan selepas dia rebah dan tidak sedarkan diri,” katanya.
Masitah berkata, dia merayu supaya suaminya dilepaskan dan meminta penjenayah mengambil semua barang kemas dipakainya, namun tidak diendahkan.
“Penjenayah kemudian merampas semua barang kemas yang saya pakai termasuk rantai, subang, rantai kaki, cincin dan dua telefon bimbit sebelum melarikan diri menaiki kereta Proton Waja milik kami.
“Saya kemudian membuka ikatan sebelum meminta bantuan bapa mentua. Bagaimanapun, suami disahkan sudah meninggal dunia,” katanya.
Sementara itu, Nor Farah yang juga murid tahun satu Sekolah Kebangsaan Sungai Renggam, Ulu Dedap, di sini, hanya mampu menangis ketika mengingati tindakan zalim penjenayah ke atas bapanya.
“Saya melihat sendiri penjenayah itu memukul bapa dengan batang paip selain menjerut lehernya dengan tali pinggang sehingga pengsan. Saya harap penjenayah terbabit mendapat hukuman setimpal,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Perak Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata, suspek memasuki rumah mangsa pada jam 3.30 pagi dengan menendang pintu sebelum mengikat mangsa dengan tali serta memukulnya dengan batang besi dan seterika.
“Sejurus ambulans tiba di lokasi kejadian, mangsa sudah tidak bernyawa sebelum dibawa ke Hospital Teluk Intan untuk bedah siasat,” katanya.
Katanya, siasatan mendapati, rumah mangsa terletak agak terpencil di dalam ladang kelapa sawit.
Mohd Shukri berkata, pihaknya masih menyiasat kejadian itu termasuk memburu keempat-empat suspek.