CORETAN SAYU FELIXIA YEAP DI HARI 'KELAHIRAN'

Tadi teman tergerak hati lak nak baca cerita pasal felixia Yap ni, selama ni hanya baca yang kawan2 post dekat FB jea.. tak pernah nak buka Fanpage felixia Yap ni, bukan sebab tak berminat, tetapi mungkin terlampau banyak sangat benda lain lagi nak fikir.. So, tak terasa sangat nak ikuti sangat perkembangan felixia Yap ni.. 

Namun.. pagi tadi terasa nak cari blog felixia Yap ni.. cadangnya nak Follow blog felixia Yap lea tujuannya, tapi terbaca entri felixia Yap yang ni.. Masa baca bait2 ayat felixia Yap, Ya Allah.. tak tahu kenapa rasa sebak, rasa sayu dan rasa kagum dengan felixia Yap.. 

Teman tak tahu nak gambarkan macam mana apa yang teman rasa bila baca entri beliau.. korang bacalah sendiri.. pasti korang rasa kagum dan akan ada rasa2 lain yang korang sendiri boleh tak dapat nak explain.. 

Ok lah.. taknak melalut panjang2.. sengaja teman nak share coretan felixia Yap ni.. Moga jadi ikhtibar dan menjadikan kita lebih berusaha jadi seorang Islam yang lebih baik.. Aamiinn..


3 Julai : Hari Kelahiran Semula Ku - Felixia Yeap
Assalammualaikum..
Sejak beberapa bulan ini, dari saat saya bertekad sebulat hati mengenakan hijab walaupun sebagai seorang yang belum Islam hatinya, hingga ke saat ini (3 Julai, sekarang pukul 6 pagi baru lepas Sahur), di mana saya telah Islam di hati, cuma tinggal perasmian sebagai seorang Islam di atas kertas dan di depan 4 orang saksi...saya telah mengharungi pelbagai dugaan.

Bantahan.

Makian.

Sindiran.

Fitnah.

Penyisihan.

Tekanan.

Tetapi syukur Alhamdullilah...saya juga dapat sokongan yang begitu hebat, yang menyentuh hati dan sokongan positif inilah yang serba sedikit menyumbang kepada saya untuk terus beristiqamah.

Dan saya harus berterima kasih juga dengan kedegilan saya. 
Terkenal juga dengan kepala batu saya, saya tidak mudah mengalah. 

Ya...saya mengaku, banyak kali saya rasa tumpas, tewas dan menangis atas semua yang negatif dan kasar terhadap saya. 

Namun, saya tetap tidak tanggalkan hijab saya.

Saya tetap teruskan perjalanan. 

Saya bertuah kerana dikurniakan seorang ibu yang bukan sahaja tabah untuk membesarkan saya dan adik dalam keluarga, tetapi rahmat yang terbesar adalah apabila beliau, seorang yang bukan Islam, langsung tidak mengetahui tentang agama Islam (kecuali yang Islam tak boleh makan khinzir) dan seringkali disindir saudara mara yang lain kerana anak perempuannya bertudung sehingga ke muka depan suratkhabar dan sebagainya...

Tidak membantah, malah merestui keputusan saya ini apabila saya memberitahu beliau yang saya sedang mempelajari tentang agama Islam dan bercadang untuk memeluknya. 

Ibu kata saya sudah banyak berubah lebih baik. Ibu kata saya dah matang, dah dewasa akhirnya. Dalam dialek Kantonis, bila saya bermanja dan menanya kenapa beliau merestui keputusan saya, beliau menjawab, "Sang seng jor lor, dai gor nui la...kwai jor hou dor." Ibu saya senyum, dan saya menahan air mata.

Rata-rata, ramai mualaf yang dibuang keluarga dan disisihkan keluarga kerana keputusan yang sama, dan ada segolongan pula yang terpaksa menyembunyikan identiti mereka sebagai seorang Islam daripada keluarga dan orang ramai kerana takut dibuang keluarga dan disisihkan. 

Saya mengaku, jika ayah saya tidak meninggalkan kami sekeluarga, mungkin perkara yang sama akan berlaku pada diri saya. Tetapi Allah Maha Mengetahui. 

Mungkin ini juga salah satu hikmah dari penceraian ibu dan ayah.
(Ibu saya jauhhhh lebih bahagia sekarang juga, ALHAMDULLILAH!)

Ia memaksa saya untuk berdikari pada usia muda, menjaga adik sehingga saya habis SPM dan terus meninggalkan Ipoh untuk mencuba nasib seorang diri di Kuala Lumpur dengan hanya RM300 sebulan sementara saya belajar di sebuah IPTS. 

Apabila sudah dihentikan saluran duit satu hari, saya keluar bekerja kerana saya tidak ingin melihat ibu saya terus bersusah payah menggunakan duit simpanan beliau yang tidak seberapa untuk menyara kami adik-beradik. Tambahan pula, adik saya perlu (dan saya pastikan) menyambung pelajaran dan perlu wang untuk membiayai yurannya.

Saya mula memikul tanggungjawab menyara keluarga.

Pada masa itu, saya tidak ada agama (saya dibesarkan di keluarga yang tidak percaya kepada mana-mana agama atau Tuhan), tidak ada apa-apa bimbingan agama...cuma berbekalkan nasihat dari ibu saya; iaitu jangan menyusahkan orang lain, jangan membiarkan mana-mana lelaki mengambil kesempatan, jangan berbuat jahat, jangan tertipu dengan orang di bandar dan jaga diri baik-baik.

Namun sebagai seorang naif yang tidak tahu apa-apa tentang dunia, tipu helah dan godaan manusia (Ya, keputusan SPM yang baik tidak menjamin anda akan selamat dengan tipu helah dunia)...saya juga mula terikut-ikut dengan orang di sekeliling saya. TETAPI, saya cuba sedaya upaya yang boleh untuk melindungi diri saya dan pada masa yang sama mencari nafkah untuk dihantar balik ke rumah untuk ibu dan adik. Saya kekalkan pendirian untuk tidak sentuh arak, rokok, atau dadah. 

Pernah banyak kali dipaksa, tetapi kedegilan saya untuk menurut paksaan dan suruhan orang lain menyelamatkan saya dari terjerumus sekali dengan yang lain.

Dengan mata saya sendiri saya sepanjang hampir 10 tahun saya terlibat dalam bidang modeling, saya pernah lihat pelbagai jenis manusia dan cara kehidupan yang dikatakan "mewah" dan bahagia. Mewah juga disamakan dengan kebahagiaan. 

Orang di sekeliling saya pada masa itu kebanyakkannya mengukur kebahagiaan dengan kekayaan teman lelaki, apa parti yang paling "happening" yang mereka dapat pergi, rasa "happy" janji dapat minum dan mabuk, berapa yang boleh dikikis dari lelaki kaya yang memikat, dan kebanyakkan mendahagakan kemewahan dan dicari tanpa mempedulikan harga diri.

Tetapi bagi saya, itu bukan kemewahan yang saya cari. Sebab apa gunanya punyai kemewahan tetapi hidup rasa kosong, tidak bermakna dan bergelumangan dengan dosa? Itu bukan kebahagiaan yang saya carikan.

Saya pernah cuba mencari Tuhan.
Cuba mendekati diri dengan Tuhan.

Saya pernah pergi ke gereja Katolik setiap Ahad petang selama 2 tahun.
Saya pernah cuba memahami agama Kristian.

Saya pernah cuba mencari makna dalam penyembahan berhala Dewa Kuan Yin dan sebagainya.

Saya juga pernah cuba mengamalkan amalan seorang penganut Buddha.

Tetapi hati saya tidak pernah merasa dekat dengan Tuhan.
Hati saya tidak pernah rasa tersentuh.

***Harap jangan salah faham, di sini saya cuma ingin menekankan bahawa saya rasa lebih dekat dengan agama Islam, dengan Allah SWT. Saya hanya menjelaskan apa yang saya rasa dari hati.

Sejak saya mula mengenali ajaran-ajaran agama Islam, saya lebih redha, lebih tenang dan lebih senang bersyukur dengan hidup yang serba sederhana.

Duit dan kemewahan tidak lagi menarik perhatian saya sepertimana dahulu. 

Saya tidak lagi rasa "impressed" atau teruja dengan kereta sport, bag mahal, kehidupan glamor, atau cita-cita tinggal di rumah besar dan mewah.

Ya, tidak dapat dinafikan, jika ada semua ini, bukan benda yang buruk, malah bonus kehidupan...tetapi wang dan kemewahan tidak dapat membeli rasa bertaubat, rasa ingin menjadi seorang yang lebih baik, ketenangan, keredhaan dan kebahagiaan.

Sepanjang hampir 7 bulan saya berhijab dan mengenali agama Islam, saya banyak menangis. 

Bukan dalam kesedihan, tetapi dalam rasa penyesalan kehidupan yang dulu dan rasa ingin bertaubat.

Seringkali saya merintih dalam bisikkan yang saya ulang tanpa henti, "Ya Allah, ampunkanlah dosa-dosa saya!"

Pada kali pertama saya melihat video pengislaman dan pengucapan seorang wanita, saya tidak dapat henti menangis.

Pada saya, dia amat bertuah kerana Allah SWT memilih dia untuk diselamatkan.

Masa itu...saya masih tidak tahu apa itu hidayah dan taufiq.

Dan pada hari ini, iaitu hari bersejarah dalam hidup saya...saya akan menjadi seorang Islam secara rasmi. 

3 Julai 2014, bersamaan dengan 5 Ramadhan 1435.

Saya yang telah Islam di hati (tanpa disedari), kini akan mengucapkan 2 kalimah syahadah saya di depan keluarga terdekat saya, dan juga para kenalan yang telah seringkali menyokong dan memberi galakkan pada saya supaya terus istiqamah.

Tidak ada sebarang media yang akan hadir.

Hari ini bukan hanya saja Hari Lahir saya...tetapi juga Hari Kelahiran Semula saya. 

Hari saya kembali akhirnya selepas 28 tahun mencari jalan pulang.
P.S: Saya masih berbangsa Cina, dan akan berkeras mengekalkan nama Cina yang diberi ibu saya. Nama Cina saya dalam bermaksud "Ketenangan, Keanggunan" atau di dalam bahasa Inggeris, "Silent Grace". 
Saya cuma akan menambah nama kurniaan dari mimpi saya di hadapan nama asal.
Terima kasih semua atas sokongan anda. =)
To felixia Yap yang kini mempunyai nama Islamnya: RANIA
Selamat Hari Lahir dan Selamat dilahirkan semula dengan Islam yang sejati.. Tahniah kerana telah memilih Islam sebagai Agama mu.. Kelahiran baru seperti kain putih yang bersih.. Semoga felixia Yap tetap kekal di jalan yang benar dan sentiasa terpelihara dari ikutan nafsu dan hasutan syaitan.. Aamiinn.. 

Note : even kita yang lahir Islam pun belum tentu dapat rasa apa yang felixia Yap rasa....Moga terus istiqomah


22 Ulasan

  1. meremang2 bulu roma baca..
    sampai ..dari hati ke hati :)
    semoga dia dn kita juga istiqamah dalam mengenali islam ..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Betul.. memang masa mula2 baca entri felixia ni, teman rasa syahdu je.. terkesima dan kagum dengan felixia

      Padam
  2. wow.. dia dah dapat ketenangan yang dicari selama ni.. :D

    BalasPadam
    Balasan
    1. Kan.. cemburu pun ada bila dia dapat anugerah camtu.. heee

      Padam
  3. assalamualaikum TB...ketenangan yang dicari2 telah dijumpai...moga Rania akan terus diberkati di dunia dan diakhirat...:)

    BalasPadam
  4. subhanallah..beruntungnya dia..lahir semula umpama seorang bayi yang suci, kain putih yang belum tercalit sebarang noda. semoga terus beristiqamah menjadi muslimah yang solehah..aamiiin.

    BalasPadam
  5. Assalamualaikum .. Subhanallah.. tersentuh hati sy baca ni..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Waalaikumsalam sheila.. kan.. bait2 kata nya sgt2 menyentuh hati kan

      Padam
  6. Alhamdulillah...semoga beliau dan kita semua terus berusaha mendalami Islam...aamiin

    BalasPadam
  7. Ya Allah sedihnya coretan dia..
    Dilahirkan semula di dalam bulan yang mulia..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Memang sedih coretannya, tiba2 air mata mengalir baca coretan dia tadi..

      Padam
  8. Memang bulu roma saya baca. Dia memang seorang yg 'kuat'. Sama2 kita doakan agar perjalanannya dipermudahkan.
    Salam ramadhan kak :)

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam ramdhan teena.. betul.. mmg dia seorang yg kuat

      Padam
  9. syahdunya baca kisah felixa yap nak masuk islam....

    BalasPadam
    Balasan
    1. Kita pun tak mampu seperti dia kan.. hope kita pun istiqomah sama

      Padam
  10. teman pun cemburu jugak.... hurm... semoga teman jugak dapat ketenangan tu.... malu kadang2 dilahirkan islam tapi tak tahu nak cari siapa diri sendiri :(

    BalasPadam
    Balasan
    1. Betul tu ayunie.. Kita yang dah memanh islam ni pun masih tercari2 diri kita sendiri..

      Padam
  11. subhanallah,moga dia sentiasa tabah mengharungi kehidupannya.

    BalasPadam
    Balasan
    1. InsyaAllah.. Kita doakan yanh terbaik untuk dia

      Padam

Catat Ulasan

Post a Comment

Terbaru Lebih lama