Kekalahan kali kedua buat skuad negara selepas tewas dengan keputusan yang sama, Ahad lepas kepada juara kumpulan C, Taiwan sekaligus memusnahkan harapan mereka untuk layak beraksi ke suku akhir, Khamis ini.

Pada perlawanan hari ini, skuad badminton negara bermula dengan langkah sumbang selepas beregu campuran kelima dunia, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying tewas mengejut 17-21, 21-18 dan 17-21 kepada Michael Fuchs dan Michels Birgit.

Perseorangan lelaki nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei menyamakan kedudukan 1-1 selepas mengalahkan Domke Dieter dengan keputusan 21-18 dan 21-18 sebelum beregu lelaki kedua negara, Goh V Shem dan Lim Khim Wah menghadiahkan mata seterusnya buat Malaysia selepas menewaskan Kindervater Ingo dan Schoettler Johannes 21-16 dan 23-21.

Konon Olga bagaimanapun mengikat kedudukan 2-2 selepas mengalahkan perseorangan wanita negara, Tee Jing Yi dengan keputusan 21-12 dan 21-14 sebelum Michels Birgit dan Golsizewski Johanna mengesahkan slot suku akhir buat wakil Eropah itu dengan kemenangan 21-16, 16-21 dan 21-18 ke atas Woon Khe Wei dan Vivian Hoo Kah Mun dalam acara beregu wanita.

Kemenangan tersebut membolehkan Jerman mengiringi tujuh pasukan lain daripada Divisyen satu ke aksi suku akhir yang dijadualkan berlangsung Khamis ini di venue yang sama.

Tujuh pasukan lain yang layak ialah China dan Indonesia (kumpulan A), Thailand dan Korea Selatan (kumpulan B), Taiwan (kumpulan C) serta Denmark dan Jepun dalam kumpulan D.

Sementara itu, Ketua jurulatih perseorangan negara, Rashid Sidek nyata kecewa dengan persembahan skuad badminton negara pada edisi ke-13 kejohanan kali ini kerana beberapa pemain yang disandarkan untuk memberikan mata-mata penting untuk negara gagal berbuat demikian.

"Sebagaimana yang saya katakan sebelum ini sekiranya kita tewas dalam acara beregu lelaki atau beregu campuran, maka peluang kita untuk memenangi sesebuah perlawanan akan bertambah sukar memandangkan kita bukanlah mempunyai pemain hebat dalam acara wanita.

"Kekalahan ini merupakan pengajaran berguna kepada kita bagi mempersiapkan diri menghadapi kejohanan-kejohanan mendatang," katanya.

Rashid berkata beliau akan mengadakan perbincangan lanjut dengan jurulatih lain mengenai barisan pemain yang akan mewakili negara dalam mana-mana kejohanan berpasukan selepas berakhirnya Kejohanan Badminton Sedunia di China, Ogos ini.

"Saya juga mengharapkan (bekas perseorangan lelaki Indonesia) Rony Augustinus yang dilantik baru-baru ini oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bagi melatih pemain wanita dari Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) mampu meningkatkan prestasi skuad sedia ada.

"Hal ini kerana majoriti pemain yang mewakili negara pada edisi kali ini merupakan bekas pelajar dari SSBJ," katanya.

Sumber - Bernama 11:10AM Mei 22 2013